Monday, 17 January 2011

Mudahnya untuk dapat ganjaran Allah

Dalam kehidupan seharian, kita sentiasa mempunyai pilihan samada untuk berbuat kebaikan atau keburukan.

Seseorang yang melakukan solat, puasa, zakat, menggembirakan ibubapanya, menuntut ilmu, menyebarkan seruan ALLAH dan RasulNya, menyampaikan hajat saudaranya, membuang halangan di jalanan dan lain-lain amalan mulia, sudah pasti itu semua termasuk dalam perkara-perkara yang terpuji dan diganjari ALLAH subhanahu wata’ala dengan ganjaran pahala.

Sebaliknya, seseorang yang tidak solat, menderhakai ibubapanya, tidak amanah, menyakiti hati jiran dan rakan, mengumpat, menfitnah dan bermacam lagi perbuatan tidak bermoral lain, sudah tentu akan mengundang kemurkaan ALLAH dan berdosa.

Pilihan di tangan kita. Sangat beruntung orang yang memilih untuk membuat kebaikan. Bukan sahaja akan disukai oleh makhluq, malah mendapat ganjaran yang berganda-ganda dari Tuhan yang Maha Pemurah.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:


“ALLAH Azza wa Jalla berfirman: Jika hambaKu hendak melakukan suatu kejahatan, maka janganlah kalian menulisnya hingga dia melakukannya. Jika dia melakukan kejahatan itu, maka tulislah dengan kejahatan yang sama. Jika dia meninggalkan kejahatan tersebut kerana-KU, maka tulislah untuknya satu kebaikan. Dan jika dia hendak melakukan kebaikan, lalu dia tidak melakukannya, maka tulislah untuknya satu kebaikan. Jika dia melakukan kebaikan itu, maka tulislah untuknya dengan sepuluh kali ganda sampai tujuh ratus kali.” (HR Muttafaq ‘Alaih)


SubhanALLAH, Maha Suci ALLAH, mudahnya untuk kita mendapat pahala. Dengan hanya memasang niat untuk membuat perkara baik pun, sudah diberi pahala. Apatah lagi jika niat yang baik itu direalisasikan. Berganda-ganda lagilah pahala. Susahkah?

Maha Pemurahnya ALLAH. Sayangnya DIA kepada kita. Kasihnya DIA kepada kita. DIA tidak lokek untuk mengurniakan pelbagai ganjaran kepada hambaNYA. Asalkan kita memilih untuk membuat kebaikan.

Tetapi sebaliknya, apabila kita berniat untuk melakukan perkara kejahatan, dosa hanya akan diberi jika kita melakukannya. Itulah yang telah disabdakan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Bagi orang yang sihat imannya, hadith di atas sudah cukup memberikan harapan yang besar kepadanya untuk sentiasa membuat kebaikan. Ia cukup untuk memotivasikan diri agar sentiasa memikirkan dan mengusahakan kebaikan dalam setiap masa kehidupannya.

Ayuh muslimin sekalian, berlumba-lumbalah kita dalam mengejar pahala dan ganjaran yang bakal tersedia di akhirat nanti.

Memang ALLAH subhanahu wata’ala nak beri kepada kita bermacam nikmat keseronokan di syurga nanti. Tetapi, terlebih dahulu kita hendaklah sentiasa berlumba-lumba membuat kebaikan.

Hari-hari yang kita tempuhi, tersedia di hadapan peluang dan ruang untuk kita melakukan perkara kebaikan. Jangan kita katakan perbuatan baik yang kita lakukan sia-sia. ALLAH nampak. ALLAH tahu. ALLAH dengar. Dan pastinya setiap kebaikan yang kita lakukan akan diganjari ALLAH subhanahu wata’ala dengan pahala yang berganda-ganda.

Jangan kita remehkan setiap perbuatan baik yang hendak kita lakukan. Walau hanya dengan memberikan senyuman pun, ia dikira sebagai suatu kebaikan.

Semoga tulisan yang ringkas ini bisa memberikan kita semua sedikit peringatan bahawa ALLAH Maha Pemurah dengan nikmat, rezeki dan pahala untuk dikurniakan kepada hamba-hambaNYA. Mudahnya untuk mendapat pahala…

WAllahu Ta’ala A’lam.

No comments:

Post a Comment