Aku menjawab “Untuk kita berubah, yang pertama perlu kita tinggalkan dulu ‘perkara’ yang menyebabkan kita dikira sebagai berdosa. Tapi, yang lebih penting ialah kita memohon ampun daripada Allah terhadap perkara yang kita lakukan tersebut. Walaupun kita tak boleh atau terlalu sukar untuk tinggalkan ‘perkara’ dosa tersebut. setiap kali kita buat dosa, setiap kali itu juga,kita kena ada rasa menyesal dalam diri. Kemudian, kalau kita ulang lagi perkara tu, kita kena minta ampun lagi daripada Allah.”
Kemudian aku ceritakan kepada kawanku ini tentang satu kisah.....
seorang yang baru memeluk islam memberitahu kawannya bahawa dia tidak dapat meninggalkan perbuatan meminum arak dan maksiat yang lain yang diamalkannya sewaktu sebelum memeluk islam. Lalu kawannya menjawab. “lakukanlah apa yang kau nak lakukan, tetapi setiap kali kau lakukan perkara tersebut, mohonlah ampun daripada Allah atas perbuatan engkau tersebut.” Dengan jawapan tersebut, kawannya yang baru memeluk islam menganggap bahawa islam agama yang sungguh mudah. Lalu dia teruskan perbuatan-perbuatan maksiat, dan setiap kali dia melakukannya, dia akan memohon ampun daripada Allah. Kejadian tersebut berulang-ulang sehingga tiba waktu, dia berasa malu dan hina dengan Allah. “Aku melakukan dosa, dan setiap kali itu jugak aku memohon ampun. Kemudian, aku ulang semula dosa tersebut. Adakah keampunan yang aku pohon tersebut akan diterima.” Akhirnya, lelaki tersebut meninggalkan segala perbuatan-perbuatan maksiat, atas kerelaan hatinya.
"Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan"
(Asy-Syura: 25)
Andai kata pemuda tersebut dengan lantangnya melarang perbuatan-perbuatan sahabatnya yang baru memeluk islam, tentu sukar untuk dia melaksanakan kesemuanya lantaran perbuatan tersebut telah sebati dalam dirinya. Namun, perkara yang ditekankan ialah TAUBAT. Ya!!! Bertaubat dan memohon ampun.
Taubat ialah kembali kepada kepada Allah dengan meninggalkan maksiat kepada Allah. Namun, persoalan yang timbul ialah:-
Berapa kali perlu aku bertaubat?
Jika aku ulang perbuatan maksiat selepas bertaubat, adakah taubatku tersebut diterima oleh Allah.?
Sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas daripada melakukan maksiat dan dosa sama ada dosa kecil ataupun dosa-dosa besar. Hari-hari kita sentiasa dipenuhi dengan anasir-anasir yang bisa ‘membuahkan’ dosa.
Mata kita, mana mungkin terlepas daripada memandang perkara-perkara yang tak sepatutnya.
Hati dan fikiran kita, mana mana mungkin terlepas daripada memikirkan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.
Tangan kita, kaki kita, telinga kita, dan seluruh panca indera kita, semuanya merupakan agen-agen pengumpul dosa setiap hari. Maka semua ini memerlukan kepada taubat, iaitu dengan beristighfar kepada Allah.
Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam sendiri yang dijamin diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang akan datang memohon ampun daripada Allah. Sabda Baginda :-
" Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungghnya aku bertaubat kepada Allah sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari.(HR Muslim)
Bagaimana pula dengan kita? Insan yang sering saja terpalit dosa, tercalit noda. Semestinya kita perlu lebih banyak memohon keampunan kepada Allah berbanding Rasulullah. Namun apakan daya, beristighfar selama 5 minit terasa begitu lama jika dibandingkan dengan menyanyi selama 1 jam. Tidak terkecuali diriku sendiri. Apa yang penting, kita perlu selalu memohon keampunan walaupun dalam sehari kita hanya ’sempat’ untuk mengingati Allah dalam masa 5 saat.
”setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Ulama’ telah meletakkan syarat-syarat taubat. Antaranya ialah meninggalkan dosa, menyesali dosa yang dilakukannya, berniat tidak mengulanginya lagi serta mengembalikan hak-hak orang yang dizaliminya atau meminta halal darinya.
Namun, adakah dengan kita mengulangi perbuatan dosa tersebut menyebabkan taubat yang kita pohon tidak diterima?
Ulama’ berbeza pendapat tentang hal tersebut. Ada yang mengatakan bahawa sekiranya yang dipohon ampun itu adalah suatu dosa, dan yang diilakukan sesudah itu adalah dosa yang lain, maka taubatnya itu diteriima. Tetapi jika dia mengulangi perbuatan yang sama sesudah dia bertaubat, maka taubatnya itu tidak diterima.
Ulama’ lain pula berpendapat, walaupun yang diulangi tersebut adalah perbuatan yang dia kesali sebelum ini, taubatnya itu diterima sekiranya dia sungguh-sungguh menyesal atas perbuatannya. Allah berfirman :-
“Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang telah melakukan perbuatan melampau batas ke atas diri-diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni keseluruhan dosa, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”
(Al-Zumar:- 53)
Hal ini juga disabdakan oleh Baginda Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam :-
Dari Abu Hurairah r.a
"Seorang hamba melakukan dosa, dan berdoa: Ya Tuhanku, aku telah melakukan dosa maka ampunilah aku. Tuhannya berfirman: hamba-Ku mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghapus dosanya, maka Aku ampuni hamba-Ku itu. Kemudian waktu berjalan dan orang itu tetap seperti itu hingga masa yang ditentukan Allah SWT, hingga orang itu kembali melakukan dosa yang lain. Orang itupun kembali berdoa: Ya Tuhanku, aku kembali melakukan dosa, maka ampunilah dosaku. Allah SWT berfirman: Hamba-Ku mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan Yang mengampuni dan menghapus dosanya, maka Aku ampuni hamba-Ku itu. Kemudian ia terus dalam keadaan demikian selama masa yang ditentukan Allah SWT, hingga akhirnya ia kembali melakukan dosa. Dan ia berdoa: Ya Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka ampunilah daku. Allah SWT berfirman: Hamba-Ku mengetahui bahwa ia mempunyai Tuhan Yang mengampuni dan menghapus dosanya. Maka Aku telah berikan ampunan kepada hamba-Ku, (diulang tiga kali) dan silakan ia melakukan apa yang ia mahu"
(hadis riwayat: Bukhari dan Muslim)
"Sesungguhnya Allah Ta'ala selalu membuka tangan-Nya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan di siang hari, dan Ia membuka tangan-Nya di waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat salah di malam hari. Begitulah hingga matahari terbit dari arah barat."
(H.R. Muslim)
Kita telah diberi peluang. Seandainya kita sengaja mengabaikan peluang tersebut, nescaya kita termasuk di kalangan orang-orang yang menzalimi diri sendiri seperti dalam firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud :-
"Dan barang siapa yang tidak bertaubat maka mereka itu merupakan orang-orang yang zalim. "
Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang mengatakan sesuatu yang buruk kepada sesama manusia, namun setiap dosa itu sama ada dosa mengata yang buruk ataupun dosa maksiat, semuanya perlu dibersihkan dengan taubat. Dan orang yang tidak bertaubat, Allah sifatkan sebagai menzalimi diri sendiri.
Malaikat imannya statik. Tidak akan pernah mengkhianati amanah yang Allah. Namun, manusia bukannya malaikat. Manusia diciptakan bersama-sama mereka ialah nafsu serta sentiasa dilingkungi oleh hasutan-hasutan syaitan. Maka, sebab itulah seandainya manusia berjaya mengekang kedua-dua nafsu dan syaitan, darjatnya adalah lebih tinggi berbanding malaikat.
Namun, atas faktor nafsu dan syaitan, serta lemahnya iman inilah yang menyebabkan manusia selalu sahaja tersasar dari landasan yang telah ditetapkan oleh Allah. Walaupun telah bersungguh-sungguh menyesali perbuatan lampau, namun dek kerana lemahnya iman serta pegangan, manusia kembali melakukan perbuatan yang pernah ditaubatinya.
Terdapat empat kategori manusia yang memohon taubat.
Golongan pertama ialah orang yang melakukan maksiat lalu bertaubat dari maksiat tersebut dan terus kekal dalam kebaikan. Taubat inilah yang disebut sebagai taubat nasuha, taubat semata-mata kerana Allah. Golongan ini memiliki nafsu al-Mutmainnah iaitu jiwa yang tenang dan redha dengan ketentuan Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud :
“wahai jiwa yang tenang (suci). Kembalilah kepada Tuhanmu dengan (hati) yang redha, lagi diredhai di sisi Tuhanmu.” (al-Fajr, ayat 27-28)
Golongan kedua pula adalah orang yang telah bertaubat kepada Allah dan melakukan amal kebaikan tetapi masih terikat melakukan dosa-dosa kecil yang tidak dapat dielakkan. Apabila ia melakukan dosa, ia segera bertaubat. Mereka ini mempunyai nafsu lawwamah iaitu nafsu yang mencela kejahatan dan tidak menyenanginya.
Golongan ketiga adalah golongan yang bertaubat dan terus kekal dalam keadaan bertaubat sehingga pada suatu ketika dia tidak mengawal diri lalu terjebak semula ke dalam maksiat. Walaupun begitu dia tidak pernah lalai dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Nafsu ini dikenali sebagai nafsu musawwalah yang bermaksud nafsu yang memperdaya.
Perkara ini dirakamkan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud :
“dan sebahagian mereka yang lain mengakui akan dosa-dosa mereka. Mereka mencampuradukkan amal-amal yang baik dengan amalan yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (al-Taubah, ayat 102)
Dan golongan keempat adalah golongan yang bertaubat dari melakukan kemaksiatan tetapi hanya seketika. Kemudian dia kembali melakukan dosa-dosa tanpa bersegera untuk bertaubat malah terus bergelumang dengan maksiat. Mereka ini termasuk dalam golongan nafsu Ammarah, iaitu nafsu yang mengajak melakukan perbuatan keji dan menjauhkan diri dari melakukan kebaikan.
Mari kita menghisab kembali diri, adakah kita merupakan golongan pertama, kedua, ketiga ataupun yang keempat. Andai kita berada dalam golongan keempat, atau mungkin juga kedua atau ketiga, sedarlah bahawa, mati itu pasti dan akan datang tanpa pernah kita undang. Andai masih menangguh untuk bertaubat dan memohon ampun atas segala khilaf, ditakuti kita akan menjadi golongan yang menyesal di kemudian hari.
”dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), ”Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan kami telah mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh. Sesungguhnya kami adalah orang-oorang yang yakin.”
(As-sajdah :12)
Kesempatan yang masih kita peroleh ini, ambillah peluang untuk kita kembali muhasabah diri. Sudahkah kita memohon keampunan Allah ada hari ini. Rasulullah menasihatkan kita supaya sentiasa memperbaharui iman dengan ucapan syahadatain. Mungkin tanpa disedari, kita ada melakukan dosa kepada Allah mahupun kepada sesama makhluk.
Segala nasihat, adalah untuk diri dan juga untuk semua. Semoga, kita semua tergolong dalam kelompok hamba-hambaNYA yang akan memiliki ‘nafs al-mutmainnah’, maka akan diseru di akhirat kelak,
“masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKU. Dan masuklah ke dalam syurgaKU.” (Al-Fajr :29-30)
Allahu’alam…
terima kasih....kerana Menyedarkan ku
ReplyDelete